Tentera Myanmar sering disifatkan sebagai suatu kuasa besar yang tidak banyak diketahui umum, malah pemerhati yang sangat teliti juga tidak memiliki banyak maklumat mengenai perancangan gerakan mereka.
Berikut adalah beberapa fakta mengenai pemimpin dan peranan tentera dalam sistem politik negara itu:
- Tentera Myanmar memerintah selama hampir 50 tahun sejak rampasan kuasa pada tahun 1962 dan sejak itu dipandang sebagai ‘pelindung’ perpaduan nasional.
- Sebagai arkitek perlembagaan Myanmar pada tahun 2008, pihak tentera memiliki cengkaman nyata dalam sistem politik negara itu, dengan memiliki kuota 25 peratu tanpa lantikan di kerusi Parlimen.
- Ketua tentera secara langsung akan melantik pengisi jawatan penting seperti Menteri Pertahanan, dan Menteri Dalam Negeri dan Hal Ehwal Sempadan selain memastikan peranan dalam politik.
- Ketetapan itu membuatkan pemerhati luar melihat gabungan yang ‘aneh’ sewaktu NLD berkongsi pentadbiran negara.
- Min Aung Hlaing, 64, mempelajari jurusan undang-undang sewaktu di Universiti Yangon pada tahun 1972-1974.
- Aung Hlaing kemudiannya memohon untuk menyertai universiti ketenteraan, Akademi Perkhidmatan Pertahanan (DSA), dan diterima masuk pada 1974.
- Selama tempoh menuntut di DSA, dia diperhatikan sebagai kadet berpencapaian biasa, personaliti yang tidak banyak bercakap, berprofil rendah dan dinaikkan pangkat dalam tentera dengan perlahan.
- Aung Hlaing mengambil alih pentadbiran tentera pada 2011 apabila transisi kepada demokrasi bermula. Dia dilihat perlahan-lahan mentransformasi dirinya, daripada seorang tentera yang pendiam, menjadi ahli politik dan figura umum.
- Aung Hlaing pernah menggunakan Facebook untuk menguar-uarkan aktiviti dan pertemuannya dengan golongan ternama. Profil rasminya menarik perhatan ribuan pengikut sebelum ditutup ketika tentera negara itu mula bertindak balas ke atas minoriti Muslim Rohingya pada 2017.
- Aung Hlaing banyak mengikuti perkembangan peralihan kuasa politik, termasuk menilai situasi perubahan rejim di banyak negara bergolak seperti di Libya dan negara Asia Barat lain.
- Dia tidak pernah menunjukkan kesediaan untuk melepaskan 25 peratus kuota kerusi Parlimen dan tidak membenarkan sebarang pindaan dibuat dalam perlembagaan hingga membolehkan Aung San Suu Kyi menjadi Presiden.
- Sepanjang tempoh tentera berkongsi kuasa dengan NLD, Aung Hlaing tidak pernah diketepikan dalam organisasi ketenteraan meskipun banyak rombakan dibuat. Malah pada Februari 2016, dia menyambung penggal perkhidmatan sebagai penggerak penting dalam tentera untuk tempoh lima tahun ke hadapan.
- Ketika khabar penindasan ke atas Muslim Rohingya tersebar ke seluruh dunia, yang menyaksikan lebih 730,000 etnik itu melarikan diri ke Bangladesh, penyiasat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengaitkan operasi tentera Myanmar dengan dakwaan pembunuhan beramai-ramai, pemerkosaan berkumpulan, pembakaran kampung dan tindakan genosid.
- Amerika Syarikat mengenakan sekatan ke atas Aung Hlaing dan tiga pemimpin tentera lain pada 2019 dan beberapa dakwaan di mahkamah antarabangsa termasuk Mahkamah Keadilan Antarabangsa masih berjalan.
- Juga pada 2019, pasukan penyiasat PBB mendesak para pemimpin dunia mengenakan sekatan kewangan ke atas mana-mana syarikat yang ada kaitan dengan tentera Myanmar.