MANILA: Warga Filipina yang berada di Lubnan dinasihatkan untuk meninggalkan negara Asia Barat itu secepat mungkin ketika ketegangan meningkat akibat ancaman perang menyeluruh antara kumpulan yang disokong Iran, Hezbollah dan Israel.

Dalam nasihat di media sosial pada malam Jumaat, Kedutaan Filipina di Lubnan menggesa warganya untuk meninggalkan negara itu kerana lapangan terbang masih beroperasi.

"Kami menasihati semua warganegara Filipina untuk mengutamakan keselamatan mereka dan meninggalkan negara ini secepat mungkin," menurut nasihat itu, lapor Xinhua.

Bagi warga Filipina yang tidak dapat meninggalkan Lubnan, Kedutaan "sangat mengesyorkan" agar mereka berpindah ke kawasan yang lebih selamat di luar ibu kota Beirut, selatan Lubnan dan Lembah Bekaa.

Terdapat kira-kira 17,500 warga Filipina tinggal di Lubnan dan 3,000 daripada jumlah itu berada di selatan Lubnan.

Pada awal Oktober tahun lepas, ketegangan di sepanjang sempadan Lubnan-Israel meningkat berikutan serangan Hamas ke atas Israel dari Gaza dan kempen ketenteraan Israel yang berikutnya.

Ketegangan yang semakin meningkat di sempadan selatan Lubnan memaksa Filipina menaikkan tahap amaran kepada 3 pada skala 4 dan menggesa warganya untuk meninggalkan negara itu.

Pada Julai tahun ini, Jabatan Hal Ehwal Luar Filipina (DFA) memperbaharui rayuannya agar rakyat Filipina memanfaatkan program penghantaran pulang sukarela kerajaan ketika ketegangan di Lubnan terus meningkat.

Namun, DFA menyatakan bahawa hanya kira-kira 300 warga Filipina telah dihantar pulang sejak kerajaan Filipina menaikkan tahap amaran kepada 3.

Tahap amaran 3 atau penghantaran pulang secara sukarela dikeluarkan "apabila gangguan kekerasan atau pencerobohan luar berlaku di kawasan terhad."

-- BERNAMA