YOUTUBER terkenal Nikocado Avocado atau digelar 'Raja Mukbang' membuat penampilan mengejutkan apabila berjaya menurunkan berat badan daripada 186 kilogram (kg) kepada 71kg.

Nicocado atau Nicholas Perry, 32, mendedahkan kehilangan berat badan secara drastik itu dilakukan secara 'rahsia' sejak dua tahun lalu.

Bagi memastikan 'rahsianya' yang semakin kurus berbanding sebelum ini, pempengaruh berasal dari Ukraine tersebut memuat naik video lamanya secara konsisten dalam salurannya itu sambil memberi perhatian kepada dietnya.

Pendedahan yang dibuat dalam video bertajuk 'Dua Langkah ke Depan' menampilkan dia menceritakan bagaimana cara berdedikasi dengan menurunkan berat badan 186kg kepada yang asal semasa dia mula berkecimpung dalam dunia YouTube.

Video yang berdurasi 25 minit telah mendapat lebih 20 juta tontonan sejak beberapa hari dilancarkan dalam saluran YouTube sahaja.

"Ini adalah percubaan sosial paling hebat sepanjang hidup saya. Walaupun terdapat sedikit kebimbangan, ia masih menarik dan seperti mimpi kerana berjaya menurunkan berat badan sehingga 115kg," katanya.

Pendedahan yang dianggap terbesar dan kini tular menyaksikan netizen memberikan komen bahawa mereka terkejut dengan perubahan tubuh badan Perry yang pada awalnya kecil hingga membesar dan kembali seperti sediakala.

"Perry selangkah lagi menjadi YouTuber kecergasan,"kata seorang netizen. - Sinar Harian/ Agensi