Raja Maori meninggal dunia di hospital selepas menjalani pembedahan jantung baru-baru ini, hanya beberapa hari selepas meraikan ulang tahun ke-18 pertabalan baginda.
"Kemangkatan Raja Kiingi Tuheitia adalah detik amat mendukacitakan bagi pengikut Te Kiingitanga, Maaoridom dan seluruh negara," menurut kenyataan itu.
Perdana Menteri New Zealand Christopher Luxon berkata beliau akan mengingati dedikasi raja kepada negara.
"Komitmennya yang tidak berbelah bahagi kepada rakyatnya dan usaha baginda yang tidak kenal lelah untuk menegakkan nilai dan tradisi Kiingitanga (King Movement) telah meninggalkan kesan mendalam kepada negara kita."
"Saya akan mengingati dedikasi baginda kepada Aotearoa New Zealand, komitmennya terhadap mokopuna (generasi akan datang), semangatnya untuk te ao Maori (dunia Maori), dan visinya untuk masa depan yang semua orang dilayan dengan bermaruah dan dihormati."
Tuheitia akan disemayamkan di Turangawaewae Marae, kediaman rasmi raja, selama lima hari sebelum dibawa ke tempat persemadiannya yang terakhir di Gunung Taupiri.
Ratusan ribu orang, termasuk pemimpin dari seluruh Pasifik, dijangka hadir di marae (tempat pertemuan komuniti suci dalam budaya Maori) untuk memberi penghormatan terakhir.
Kiingitanga diasaskan pada 1858 dengan tujuan untuk menyatukan Maori di bawah satu pemerintahan berdaulat.
-- BERNAMA