Kerajaan pimpinan Khasawneh yang meletak jawatan awal Ahad akan terus mengendalikan urusan seharian sehingga kerajaan baharu dibentuk dan mengambil alih tugasnya, menurut agensi berita rasmi kerajaan, Petra.
Hassan sebelum ini pernah berkhidmat sebagai Pengarah Pejabat Raja, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, serta Menteri Perancangan dan Kerjasama Antarabangsa.
Kerajaan Khasawneh meletak jawatan selepas Islamic Action Front, sayap politik Ikhwanul Muslimin memenangi 31 daripada 138 kerusi dalam Pilihan Raya Parlimen.
Dalam surat pelantikan Hassan sebagai Perdana Menteri, Raja Abdullah menitahkan kerajaan untuk mendedikasikan segala usaha bagi menyokong rakyat Palestin dan mempertahankan hak-hak mereka.
"Jordan berdiri teguh menentang perang di Gaza dan serangan di Tebing Barat dan Baitulmuqaddis. Kami bekerja dengan segala keupayaan kami melalui usaha Arab dan antarabangsa untuk melindungi rakyat Palestin dan menghentikan pelanggaran terang-terangan terhadap prinsip kemanusiaan dan undang-undang antarabangsa.
"Kami akan sentiasa kekal sebagai sekutu setia saudara-saudara kami di Palestin," titah baginda dalam surat itu.
Baginda juga bertitah kerajaan mesti bekerjasama dengan Dewan Perwakilan untuk memperkukuh asas demokrasi dan konsepnya, serta menekankan kepentingan meneruskan dasar kewangan kerajaan yang bijaksana untuk mengekalkan kestabilan ekonomi dan mengawal hutang dalam menghadapi cabaran serantau dan antarabangsa.
Sementara itu, Hassan menghantar ciapannya di platform X selepas baginda memberikan kepercayaan kepada beliau untuk membentuk kerajaan baharu Jordan, menurut laporan Petra.
"Tuanku menitahkan saya hari ini untuk membentuk Kabinet baharu. Perkhidmatan awam adalah satu penghormatan dan tanggungjawab besar, yang akan kami laksanakan dengan segala kemampuan kami untuk berkhidmat kepada Jordan dan rakyat Jordan.
"Kami akan menterjemahkan Surat Pelantikan ke dalam program yang jelas berasaskan perkhidmatan yang penuh dedikasi," katanya.
-- BERNAMA