Umat Islam di England dinasihatkan untuk kekal bersatu selain menjalani kehidupan harian seperti biasa walaupun terdapat ancaman dari pihak tidak bertanggungjawab yang ingin menyerang umat Islam di negara berkenaan.

Ancaman itu mula hangat diperkatakan selepas pihak polis tempatan di daerah West Yorkshire menerima enam laporan berhubung surat yang mempromosikan kempen ‘Hari Menghukum Orang Islam’ atau ‘Punish A Muslim Day’.

Antara kandungan surat tersebut adalah menggalakkan keganasan terhadap umat Islam menjelang 3 April yang diedarkan di London dan bandar-bandar di United Kingdom selain ganjaran bakal diberikan ke atas serangan itu nanti.

BACA: Dapat 25 'markah' jika tarik hijab, polis UK siasat kempen serang umat Islam


Pengarah perkhidmatan pengawasan serangan anti-Islam Tell MAMA, Iman Atta berkata mereka telah melakukan langkah berjaga-jaga berikutan ancaman serangan terbabit, lapor Evening Standard.

“Kami akan berusaha untuk memastikan komuniti Muslim saling bekerjasama dan menyokong antara satu sama lain dalam apa jua keadaan sekalipun.

“Kami juga telah mengedarkan notis keselamatan kepada orang awam dengan bantuan pihak polis selain menerusi pangkalan data kami.

“Ini bagi menjamin keselamatan orang Islam dalam menjalani aktiviti seharian dan berharap orang ramai tidak terpengaruh dengan sebaran Whatsapp yang menakutkan orang ramai untuk berselindung di dalam rumah masing-masing,” katanya.

Selain itu, portal Mirror.com melaporkan kaum ibu di sana disaran berjalan secara berkumpulan sekurang-kurangnya tiga orang ketika menghantar anak mereka ke sekolah.

Mereka juga diminta menyembunyikan hijab ketika berada di luar untuk mengelak daripada menjadi sasaran golongan yang tidak bertanggungjawab.

BACA: Kempen #punishamuslimday, rakyat Malaysia dinasihat berwaspada

Dalam pada itu, Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) turut menasihatkan semua warganegara Malaysia yang berada di Amerika Syarikat dan United Kingdom untuk berhati-hati dengan ancaman ‘Punish A Muslim Day’ selain menyarankan mereka agar melaporkan diri dengan Perwakilan Malaysia berdekatan dan mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan dari semasa ke semasa.

Bagaimanapun, pihak polis tempatan England belum menerima sebarang maklumat terperinci mengenai penganjuran kempen tersebut tetapi pihaknya sentiasa berada dalam keadaan berwaspada.