JAKARTA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memuji komitmen Indonesia untuk mempercepat dan mengoptimumkan program vaksinasi nasionalnya sebagai sebahagian daripada usaha menamatkan pandemik COVID-19.

Menurut Pegawai Imunisasi WHO untuk Indonesia, Olivi Silalahi, Indonesia adalah antara negara dengan program vaksinasi yang berjaya.

Silahi dipetik Agensi Berita Antara sebagai berkata Indonesia berada di tangga kedua di kalangan negara-negara dengan paling ramai penduduk di dunia yang telah memberi vaksin COVID-19 kepada warganegaranya.

Lebih 17.7 juta penduduk Indonesia telah menerima dos pertama vaksin COVID-19, manakala lebih 11.1 juta telah melengkapkan dos kedua mereka.

Indonesia melancarkan program vaksinasi pada 13 Januari lepas, menggunakan vaksin Sinovac, AstraZeneca dan Sinopharm.

Kerajaan Indonesia mensasarkan untuk memvaksin lebih 40 juta orang pada fasa pertama dan kedua program vaksinasi nasional, mengutamakan petugas kesihatan, pekerja perkhidmatan awam, dan warga emas.

Vaksinasi pekerja perkhidmatan awam, termasuk guru dan warga emas, masih diteruskan di beberapa bahagian negara itu yang mempunyai populasi 270 juta.

-- BERNAMA