Kementerian Dalam Negeri Mesir memaklumkan pihak polis telah menahan bekas perdana menteri Hisham Qandil ketika cubaannya untuk melarikan diri ke Sudan ketika ketegangan di negara itu semakin memuncak susulan insiden pengeboman bom kereta yang membunuh 15 orang.

Hisham yang berkhidmat ketika pemerintahan bekas Presiden yang disingkirkan Mohamed Morsi, berhadapan hukuman penjara atas kesalahan mengingkari perintah mahkamah ketika dia menjadi perdana menteri.

Dia jarang tampil di khalayak ramai selepas Morsi disingkirkan pada Julai lalu.

Kali terakhir dia dilihat adalah ketika menjadi wakil kepada kumpulan pro-Morsi dalam rundingan bersama wakil-wakil eropah bagi menamatkan krisis politik negara itu.

Usaha itu bagaimanapun gagal apabila pihak polis melancarkan operasi besar-besaran bagi mematahkan tunjuk perasaan yang menyaksikan lebih 1,000 terkorban pada Ogos.

Dia sebelum itu pada April telah dijatuhi hukuman penjara selama setahun oleh mahkamah atas kesalahan gagal memilik negarakan kembali syarikat-syarikat yang telah diswastakan pada tahun 1996.