Mayat mangsa, Sheila von Wiese-Mack, 62, ditemui dalam sebuah beg yang diletakkan dalam sebuah teksi di perkarangan sebuah resort di Bali pada Rabu lalu.
Suspek utama Heather Mack, 19, adalah anak perempuan mangsa bunuh yang ditemui mayatnya dalam sebuah beg - (AP Photo/Firdia Lisnawati)
Anak perempuan mangsa, Heather Mack, 19, dan teman lelakinya, Tommy Schaefer, 21, kini dalam tahanan polis untuk membantu siasatan.
Ketua Polis Bali, Inspektor Jeneral Albertus Julius Benny Mokalu percaya pihaknya ada bukti yang kukuh untuk mensabitkan kedua-dua suspek itu.
"Kita ada bukti termasuk rakaman CCTV, cap jari, beg yang menunjukkan bahawa merekalah pelakunya.
"Ini pembunuhan yang dirancang. Kenapa? Kerana kita boleh lihat mereka memasukkan mayat itu ke dalam beg tersebut," katanya seperti dipetik oleh laman web berita news.com.au.
Rakaman CCTV tersebut menunjukkan pasangan kekasih itu membawa turun beg dari bilik hotel mereka ke lobi menggunakan tangga kecemasan. Beg itu kemudiannya ditemui mengandungi mayat mangsa.
Teman lelaki Heather Mack, Tommy Schaefer, 21, kini dalam tahanan polis untuk membantu siasatan - (AP Photo/Firdia Lisnawati)
Menurut polis, pasangan kekasih itu menggunakan kad kredit mangsa untuk menempah bilik di sebuah hotel lain selepas mereka meninggalkan resort tempat beg berisi mayat itu ditemui.
Dalam siasatan awal, anak perempuan mangsa dilaporkan memberitahu polis bahawa dia kini mengandung. Dia mendakwa kandungannya berada di luar rahim dan dia perlu pulang ke Amerika Syarikat untuk mendapatkan rawatan.
Siasatan polis di Bali, Indonesia itu dibantu oleh siasatan polis di Chicago, Amerika Syarikat. Jurucakap polis di Chicago dilaporkan memberitahu media pihak mereka menerima banyak laporan polis berhubung masalah keluarga di kediaman mangsa sejak 2004.
Polis percaya apa yang berlaku di rumah itu mungkin boleh membantu mereka mendapatkan gambaran sebenar tentang apa yang terjadi di Bali.
Saksi juga dilaporkan melihat mangsa bertengkar di lobi resort mewah itu pada pagi Rabu tentang siapa yang sepatutnya membayar bil hotel apabila mereka keluar pada Khamis.
Kedua-dua suspek pada Jumaat menjalani pemeriksaan psikiatri. Anak perempuan mangsa juga menjalani ujian bagi mengesahkan dakwaan kononnya dia mengandung.
Dalam keterangan awalnya kepada polis pada Rabu, Heather yang menangis memberitahu kononnya dia dan ibunya cuba dirompak oleh tiga lelaki yang tidak dikenali di resort tempat mereka menginap.
Siasatan polis mendapati mangsa mengalami kecederaan pada bahagian kepala dipercayai dihentak dengan benda tumpul. Mangsa juga dipercayai bergelut dengan penyerangnya.
Kedua-dua suspek meninggalkan resort tempat mereka menginap bersama mangsa dan ditahan di sebuah hotel lain. -- Agensi