Perdana Menteri Thailand Jen Prayut Chan-o-cha kesal dengan kejadian seorang pelancong lelaki China dikasari seorang pengawal keselamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Don Mueang.

Bimbang kejadian itu mungkin memberi kesan buruk terhadap industri pelancongan Thailand yang bernilai berbilion dolar, beliau mengarahkan agensi berkenaan mempercepatkan usaha ke arah memulihkan keyakinan rakyat China yang berhasrat melancong ke negara ini.

"Pihak berkuasa di lapangan terbang perlu mengawal diri dan bertugas mengikut standard antarabangsa. Oleh kerana lapangan terbang adalah pintu masuk pertama ke Thailand, mereka yang bertugas di sana perlulah mengutamakan perkhidmatan dalam minda masing-masing," kata Prayut dalam kenyataan dikeluarkan jurucakap kerajaan Lt Jen Sansern Kaewkamnerd.

Kementerian Pengangkutan, yang bertanggungjawab menyelia urusan di lapangan terbang negara ini dan Polis Diraja Thailand, yang mengendalikan proses imigresen, perlu bekerja lebih keras, katanya.

Kejadian tersebut berlaku Khamis lepas apabila pelancong berkenaan, yang menurut media tempatan, baru saja tiba dari Jakarta, tidak dibenarkan memasuki Thailand kerana gagal mengemukakan dokumen diperlukan kepada pegawai imigresen.

Pelancong itu kemudian diarah masuk ke bilik tahanan dan apabila dia enggan berbuat demikian, pergelutan berlaku dengan seorang pegawal keselamatan dan kejadian itu dirakam melalui kamera.

Walaupun pelancong berkenaan akhirnya meninggalkan Thailand, kejadian itu menjadi topik hangat dalam kalangan pengguna media sosial China, dengan kebanyakan mereka mengkritik pengawal keselamatan terbabit.

Susulan itu, pengarah lapangan terbang berkenaan dan pengawal keselamatan terbabit digantung tugas semantara menunggu hasil siasatan.

Pelancongan merupakan industri utama di Thailand, yang memberi sumbangan besar terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar.

Menurut kementerian Sukan dan Pelancongan Thailand, tahun lepas negara ini menerima lebih 35 juta pelancong asing, dengan China menduduki tempat teratas melibatkan 9.8 juta pelancong, diikuti Malaysia (3.3 juta), Korea Selatan (1.7 juta), Laos (1.6 juta), Jepun (1.5 juta) dan lain-lain.

Jumlah ketibaan pelancong dari China merosot dengan ketara berikutan tragedi yang berlaku Julai lepas apabila sebuah bot membawa ramai pelancong China karam di perairan Phuket dalam cuaca buruk, yang mengakibatkan 47 rakyat negara itu kehilangan nyawa.

-- BERNAMA