Sebuah pesawat British Airways terbakar di landasan Lapangan Terbang Antarabangsa McCarran di Las Vegas sejurus sebelum berlepas pada Rabu.

Dilaporkan 159 penumpang dan 13 kru berada di dalam pesawat ketika kejadian.

Sejurus kemudian, dua penumpang telah dibawa untuk menjalani rawatan kerana kecederaan ringan, lapor AFP yang memetik kenyataan pada akaun Twitter lapangan terbang tersebut.


Namun, jumlah mereka yang tercedera meningkat kepada tujuh orang setakat jam 7.30 malam waktu tempatan.

Pentadbiran Penerbangan Persekutuan berkata kebakaran tercetus pada enjin kiri pesawat.

Pesawat B77-200 itu dijadual menuju ke Lapangan Terbang Gatwick di London.





Jurucakap Pentadbiran Penerbangan Persekutuan memberitahu pihaknya masih belum dapat memastikan bagaimana kebakaran itu boleh tercetus.

Penumpang-penumpang dibawa keluar dari pesawat menggunakan gelongsor evakuasi.


Operasi di lapangan terbang itu bagaimanapun tidak terjejas, namun laluan yang menempatkan pesawat berkenaan masih ditutup.