Doktor dan petugas kesihatan merupakan antara yang paling berisiko dijangkiti COVID-19, apatah lagi barisan hadapan itu kini berhubung secara langsung dengan pesakit tanpa mengetahui keadaan pesakit berkenaan.

Sebuah hospital di St. Petersburg, Rusia mempunyai 32 orang pesakit postif COVID-19, dengan 10 daripadanya merupakan petugas kesihatan.

Ketua Pakar Bedah Tulang Belakang di Institut Traumatologi dan Ortopedik Vreden, Dr. Dmitry Ptashnikov memberitahu, seluruh kakitangan termasuk dirinya kini disahkan positif COVID-19.

"Terdapat 32 pesakit koronavirus di unit kami, dan 10 daripadanya adalah petugas perubatan.

"Ya, anda tidak salah dengar. Kesemua petugas kami kami kini dijangkiti," ujar Dr Dmitry.


Dr. Dmitry dan unitnya disahkan positif COVID-19 selepas seorang pesakitnya yang baru saja menjalani pembedahan tulang belakang mengalami demam secara tiba-tiba. Setelah ujian saringan dibuat, barulah pasukannya sedar bahawa pesakit itu sudah dijangkiti koronavirus berkenaan.

Sebaran jangkitan itu termasuk ke kontak rapat mangsa dan semua pesakit di wad, jururawat dan doktor.

Dr. Dmitry memaklumkan, hospitalnya dikuarantin sejak 9 April lalu dan majoriti pesakit dan petugas terkandas di hospital.

Individu yang menjalani pembedahan itu pada awalnya tidak disangka merupakan pesakit COVID-19, kerana langsung tidak menunjukkan sebarang simptom.

Laporan pekerja perubatan yang dijangkiti COVID-19 direkodkan hampir setiap hari ketika Rusia sedang berperang menangani virus tersebut.

Minggu lalu sahaja, lebih daripada 200 doktor di Moscow dan St. Petersburg dijangkiti.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan berapa ramai doktor dan jururawat yang dijangkiti.

Kementerian Kesihatan juga didakwa tidak memberi sebarang maklum balas slalu terhadap laporan kira-kira 450 petugas kesihatan yang dijangkiti COVID-19 dengan 11 doktor dan 5 jururawat disahkan meninggal dunia.