Pesakit disahkan positif COVID-19 selepas pulang dari Bali
Astro Awani
Februari 12, 2020 23:20 MYT
Februari 12, 2020 23:20 MYT
PIHAK berkuasa Anhui, China melaporkan seorang warganya dikesan positif COVID-19 selepas melawat pulau peranginan popular Bali pada hujung bulan lalu.
Pesakit berkenaan menaiki pesawat Lion Air JT618 dari Wuhan ke Bali pada 22 Januari lalu dan menginap di pulau berkenaan selama seminggu sebelum terbang pulang ke negaranya menerusi penerbangan Garuda Indonesia, pesawat GA858 dari Bali ke Shanghai, lapor The Jakarta Post.
Pesakit itu disahkan positif pada 5 Februari lalu, seminggu selepas pulang dari Bali.
The Jakarta Post melaporkan pihak berkuasa Indonesia masih cuba untuk mendapatkan pengesahan mengenai perkara ini pada Rabu.
Pihak berkuasa Anhui menerusi platform sosial medianya menggesa semua penumpang pesawat-pesawat berkenaan untuk melaksanakan langkah pencegahan serta-merta.
"Dipohon jangan keluar rumah untuk seketika dan jika anda mengalami demam, sila ke hospital berdekatan," jelas kenyataan itu.
"Sila pakai penutup muka semasa perjalanan ke pusat kesihatan dan jangan gunakan pengangkutan awam," tambah kenyataan itu.
The Jakarta Post turut melaporkan bahawa jurucakap Garuda Indonesia dan Lion Air masing-masing memberitahu akan menyemak kes ini.
Bagaimanapun, jurucakap Kementerian Kesihatan Indonesia menganggap laporan ini sebagai 'khabar angin'.
#Bali
#China
#coronavirus
#COVID-19
#Cuba
#Hospital
#Indonesia
#Jakarta
#Kementerian Kesihatan
#kesihatan
#koronavirus
#penerbangan
#Wuhan