Dana Sedunia Alam Semula Jadi (WWF) dan Global Tiger Forum (GTF) mengumumkan bilangan harimau liar global menjelang mesyuarat pemuliharaan harimau yang akan berlangsung bermula esok di New Delhi.

Mesyuarat tiga hari tersebut bakal dirasmikan oleh oleh Perdana Menteri India, Narendra Modi.

Berdasarkan data IUCN, angka terkini ialah 3,890, berbanding anggaran sebanyak 3,200 pada tahun 2010.

Peningkatan tersebut boleh dikaitkan dengan pelbagai faktor termasuk peningkatan populasi harimau di India, Rusia, Nepal dan Bhutan, tinjauan yang ditambah baik dan peningkatan perlindungan.

"Buat pertama kali selepas penurunan berterusan selama beberapa dekad, bilangan harimau semakin meningkat.

"Ini memberikan kita harapan yang besar dan menunjukkan bahawa kita boleh menyelamatkan spesies dan habitat mereka apabila kerajaan, masyarakat dan warga pemuliharaan tempatan bekerjasama," kata Marco Lambertini, Ketua Pengarah WWF Antarabangsa.

Persidangan Peringkat Menteri Asia ke-3 mengenai pemuliharaan harimau adalah langkah terbaru Inisiatif Harimau Global yang bermula pada Persidangan Harimau 2010 di Rusia.

Kerajaan-kerajaan di mesyuarat itu bersetuju dengan matlamat "TX2", iaitu menggandakan bilangan harimau liar menjelang 2022.

Menurut Michael Baltzer, Ketua WWF TX2 Tiger Initiative, meskipun penurunan jumlah harimau global telah dihentikan, masih tiada tempat yang selamat untuk harimau.

Asia Tenggara, khususnya, berdepan risiko kepupusan spesis harimau sekiranya negara di rantau itu tidak mengambil langkah drastik dan sewajarnya.

Harimau diklasifikasikan sebagai spesis terancam dalam senarai merah oleh IUCN berikutan aktiviti pemburuan haram serta pencerobohan habitat haiwan ini.

Statistik TRAFFIC, sebuah rangkaian pemantauan perdagangan hidupan liar menunjukkan sekurang-kurangnya 1,590 harimau dirampas oleh pegawai-pegawai penguatkuasa undang-undang di antara Januari 2000 dan April 2014, yang menyumbang berbilion dolar kepada perdagangan haram hidupan liar.