Perdana Menteri Mesir, Ibrahim Mahlab dan kabinetnya meletakkan jawatan pada Sabtu.

Pejabat Presiden Mesir dalam satu kenyataan berkata, perdana menteri telah menyerahkan surat peletakan jawatan kerajaan kepada presiden dan ia diterima.

Menurut kenyataan itu, Presiden Abdel Fattah Al-Sisi meminta Mahlab untuk kekal sebagai perdana menteri sementara sehingga sebuah kerajaan baru dibentuk.

Pengumuman itu dibuat menjelang pilihan raya perundangan Mesir pertama yang akan berlangsung secara berperingkat dari 17 Oktober hingga 2 Disember.

Pilihan raya yang dijadual diadakan pada 2014 tetapi ditangguhkan beberapa kali atas alasan undang-undang berikutan tuduhan kumpulan hak asasi berhubung tindakan keras rejim Sisi terhadap pembangkang Islam.

Pada Isnin, pejabat perdana menteri mengumumkan Menteri Pertanian Salah Helal ditangkap atas arahan Sisi berhubung siasatan rasuah.

Helal dan ketua stafnya dipercayai telah meminta dan menerima rasuah daripada seorang ahli perniagaan menerusi orang tengah bagi tujuan mengesahkan pembelian hartanah yang diberli daripada kerajaan.

Mahlab dan 31 anggota kabinetnya mengangkat sumpah Mac 2014 dan dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan pilihan raya presiden yang dimenangi oleh sisi pada Mei tahun yang sama.

Sisi mencatatkan kemenangan itu hampir setahun selepas beliau menggulingkan kerajaan Islam pimpinan Mohamed Morsi pada Julai 2013.