NEW DELHI: Rakyat Pakistan pada Ahad bersedih atas pemergian penyanyi legenda Nayyara Noor.

Penghibur yang sudah berdekad lamanya berada dalam industri hiburan dan popular dengan lagu latar itu, meninggal dunia pada usia 71 tahun di bandar Karachi kerana sakit, lapor media tempatan.

Nayyara dilahirkan di negeri Assam di timur laut India sebelum berhijrah ke Pakistan bersama keluarganya pada 1950-an.

Generasi rakyat Pakistan membesar dengan kemerduan suaranya apabila lagu ghazal nyanyiannya disiarkan di televisyen dan radio.

"Tidak mungkin ada lagi Nayyara Noor. Pakistan kehilangan seorang bintang legenda," kata ahli politik Faisal Javed Khan dalam catatan media sosial.

-- BERNAMA