LAMPUNG: Penantian Nur Kholiq untuk bergelar suami berakhir dengan kesedihan selepas isterinya, Rika Amiana, meninggal dunia pada hari perkahwinan mereka.

Rika meninggal dunia pada Khamis lalu di kediamannya di Desa Air Naningan, Kabupaten Tanggamus, Provinsi Lampung.

Menurut Nur Kholiq dia tidak nampak apa-apa perubahan Allahyarham pada pagi sebelum majlis akad nikah berlangsung.

"Pada waktu pagi itu, dia kelihatan seperti biasa, sempat menyapa tetamu yang datang," katanya kepada wartawan pada Jumaat.

Tambah Nur Kholiq, Allahyarham mula menunjukkan perubahan apabila dia memberitahu mula 'lemas' setelah disapa ramai tetamu.

"Saat bersalaman dengan tetamu, Rika mengeluh kakinya mula kebas dan memberitahu bahawa dia sudah tidak kuat untuk berdiri.

"Saya pun akhirnya meminta dia duduk, tidak lama kemudian dia pengsan," katanya.

Allahyarham kemudiannya dibawa ke hospital.

"Sampai di sana (hospital) dia dilaporkan sudah meninggal dunia," ujarnya.

Menurut keterangan doktor, Rika memiliki riwayat penyakit jantung sejak bayi yang menjadi punca utama kematiannya.

Pasangan itu sebelum ini berkenalan pada 2019 semasa Allahyarham masih belajar di Universiti Islam Negeri Raden Intan Lampung.

"Rika juga bakal berkonvekesyen pada akhir Disember ini," kata Nur Kholiq lagi. - Sinar Harian memetik agensi