SINGAPURA: Jumlah penduduk keseluruhan Singapura mencapai rekod 5.92 juta orang iaitu peningkatan sebanyak 5 peratus berbanding setahun yang lalu.

Penduduk ini pulih daripada penurunan semasa pandemik COVID-19 dan sejak itu melebihi jumlah penduduk pada tahun 2019 yang berjumlah 5.7 juta orang.

"Jumlah penduduk keseluruhan sebanyak 5.92 juta orang pada Jun 2023 adalah jumlah tertinggi yang pernah direkodkan dalam sejarah Singapura," kata Pejabat Perdana Menteri (PMO) negara itu seperti dilaporkan portal berita Channel News Asia (CNA).

Angka-angka ini diterbitkan pada hari Jumaat dalam laporan Jabatan Populasi dan Pembangunan Bakat Negara, PMO.

Daripada jumlah 5.92 juta penduduk itu, sebanyak 4.15 juta orang merupakan warganegara sementara, 1.77 juta lagi bukan warganegara yang merangkumi tenaga kerja asing, tanggungan dan pelajar-pelajar antarabangsa.

Warganegara Singapura membentuk 3.61 juta atau 61 peratus daripada jumlah keseluruhan.

Jumlah itu merupakan peningkatan sebanyak 1.6 peratus berbanding tahun lalu.

Dalam masa sama, jumlah penduduk tetap (PR) pula meningkat sebanyak 3.7 peratus kepada 538,600 pada Jun 2023.

Laporan tersebut menyatakan, dengan pengurangan sekatan perjalanan yang berkaitan dengan COVID-19, lebih ramai warganegara dan PR yang tinggal di luar negara telah kembali ke Singapura.

Ini merupakan faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan dalam jumlah penduduk warganegara dan PR.

Penduduk bukan warganegara meningkat sebanyak 13.1 peratus kepada 1.77 juta, dengan peningkatan dalam semua jenis pas kerja.

Peningkatan terbesar datang dari pemegang pas kerja dalam industri pembinaan, kapal marin dan industri proses.

Laporan tersebut turut menyebut, peningkatan pekerja asing di seluruh sektor berlaku disebabkan syarikat-syarikat mengisi jawatan-jawatan yang ditinggalkan oleh bukan warganegara semasa pandemik.


Pada tahun 2021, ketika sempadan tetap ditutup, jumlah penduduk negara itu turun kepada 5.45 juta orang sebelum meningkat kepada 5.64 juta tahun lalu (2022) dan mencapai angka 5.92 juta orang pada Jun lalu.

Dari tahun 2013 hingga 2018, kadar pertumbuhan tahunan purata penduduk Singapura adalah 0.9 peratus dan ia merupakan 1 peratus dari tahun 2018 hingga 2023.

Data dalam laporan juga menunjukkan bahawa jumlah perkahwinan warganegara pada tahun 2022 mencapai rekod tertinggi sebanyak 24,767, sementara jumlah kelahiran warganegara berkurang kepada 30,429. - CNA