MANAGUA: Nicaragua pada Jumaat mengumumkan keputusan untuk memutuskan hubungan diplomatik dengan Israel sebagai tindak balas terhadap apa yang disebut oleh kerajaan Nicaragua sebagai "genosid kejam" yang dilakukan oleh Israel terhadap rakyat Palestin, lapor Xinhua.

Langkah itu diambil susulan permintaan oleh parlimen negara Amerika Tengah itu, Dewan Negara yang meluluskan perisytiharan kecaman semasa sesi khas yang diadakan pada tahun pertama konflik Gaza.

Parlimen mengecam "genosid berterusan, kekejaman, kebencian melampau dan pemusnahan yang dilakukan oleh kerajaan Israel," menurut kerajaan Nicaragua dalam satu kenyataan.

Kerajaan Nicaragua berkata keputusan itu adalah "dalam solidariti kekal" dengan rakyat dan kerajaan Palestin serta mematuhi undang-undang antarabangsa dan konvensyen yang mengawal hubungan antara negara dan kerajaan.

Kerajaan yang diketuai oleh Presiden Daniel Ortega turut mengulangi "gesaan untuk mematuhi semua Resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu" untuk sebuah negara Palestin yang "bebas, berdaulat, merdeka dan menentukan nasib sendiri."

-- BERNAMA