Pihak pendakwaan Amerika Syarikat (AS) berkata mereka akan berusaha keras supaya seorang lelaki yang menculik dan merogol tiga wanita Ohio berdepan hukuman mati.

Ariel Castro, 52, bekas pemandu bas telah dituduh menculik dan merogol wanita berkenaan sejak sepuluh tahun lalu di rumahnya di Cleveland. Castro diperintah membayar bon $8 juta semalam.

Namun pendakwa raya di daerah Cuyahoga, Timothy McGinty berkata penyiasat akan meneliti semula penyeksaan yang Castro lakukan sewaktu menahan wanita berkenaan bagi tujuan mencari jika terdapat tuduhan yang lebih serius.

"Saya benar-benar ingin mendakwa bagi setiap keganasan seksual, rogol, hari-hari penculikan, serangan kejam, cubaan membunuh dan menggugurkan kandungan yang dilakukan lelaki itu," kata McGinty.

Castro didapati sekurang-kurangnya telah memukul salah seorang wanita berkenaan bagi menggugurkan kandungan sewaktu dalam kurungan rumah. McGinty menyifatkan hal itu sebagai 'ruangan penyeksaan dan penjara sulit'.

Castro ditahan Isnin lepas selepas Amanda Berry, 27, berjaya menarik perhatian jiran berhampiran untuk datang menyelematkan Berry dan anaknya yang berusia enam tahun.

Polis tiba di kawasan kejadian dan menjumpai dua wanita lain iaitu Gina deJesus dan Michelle Knight yang masing-masing berusia 23 dan 32 tahun.

Semalam (Khamis) Castro telah dihadapkan ke Mahkamah Perbandaran Cleveland atas tuduhan menculik dan merogol tiga wanita serta anak perempuan kepada Berry.

Ibu Castro Lillian Rodriguez berkata kepada media "saya mempunyai anak yang teruk dan melakukan sesuatu yang sangat serius. Saya sangat menderita. Saya mohon maaf kepada ibu mangsa. "

Sementara itu, media Cleveland melaporkan polis menjumpai sekeping nota di rumah Castro yang menyifatkannya sebagai 'pemangsa seksual', ingin membunuh diri dan meninggalkan wang simpanannya kepada mangsa.