POLIS Perancis terpaksa mengosongkan kawasan sekitar Menara Eiffel selepas seorang lelaki dikesan sedang mendaki mercu tanda Paris - beberapa jam sebelum majlis penutupan Sukan Olimpik Paris 2024.

Seorang lelaki yang tidak berbaju dilihat memanjat menara setinggi 330 meter (1,083 kaki) pada sebelah petang tetapi tidak jelas di mana dia memulakan pendakiannya, namun dia kelihatan berada di atas logo Sukan Olimpik yang menghiasi bahagian tengah monumen itu.

Polis kemudian mengiringi lelaki itu meninggalkan kawasan itu sekitar jam 3 petang sambil beberapa pelawat yang terkurung di tingkat dua dibenarkan keluar sekitar 30 minit kemudian.

“Seorang individu mula memanjat Menara Eiffel pada 2:45 petang, polis campur tangan dan pemuda itu telah ditahan,” kata seorang pegawai polis Paris kepada The Associated Press dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan kerana siasatan ke atas kejadian itu akan diteruskan.

Menara itu tidak menjadi sebahagian daripada upacara penutupan temasya di Stade de France, awal pagi tadi. - Stadium Astro