SEBUAH panel bebas yang memerhati pengendalian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) terhadap tindak balas COVID-19 mempertimbangkan sama ada agensi itu mempunyai cukup kuasa dan dana untuk tangani wabak pada masa depan.

Bekas Perdana Menteri New Zealand Helen Clark yang merupakan pengerusi bersama panel bebas kesediaan dan tindak balas pandemik itu menyenaraikan keutamaannya semasa perhimpunan tahunan WHO.

Antara perkara yang dikaji termasuk melihat bagaimana keseluruhan sistem multilateral berkembang ketika koronavirus merebak di seluruh dunia dan apakah perubahan yang mungkin akan dibuat.

Clark yang disertai bekas Presiden Liberia, Ellen Johnson-Sirleaf berkata, panel ingin mewujudkan kronologi tepat dari peristiwa-peristiwa ketika kemunculan COVID-19 dan mengkaji strategi nasional individu yang sangat berbeza.

Dalam laporan diserahkan pada perhimpunan minggu ini, panel yang disertai 11 pakar luar menyatakan masalah kemampuan WHO untuk mencapai mandatnya bagi meningkatkan kesihatan dunia.

Ia adalah titik penting fungsi institusi agensi kesihatan yang akan diperhalusi.

Kata laporan itu, panel bersetuju bahawa fungsi WHO harus dipertimbangkan daripada pelbagai perspektif termasuk dari negara-negara dan pihak luar.

Sebelum ini pentadbiran Donald Trump mengecam tindak balas WHO terhadap wabak dan menyalahkan agensi itu memberi banyak nasihat yang tidak konsisten selain menuduh badan itu rapat sekali gus berat sebelah kepada China.

Akibatnya, Trump telah menghentikan pembiayaan Amerika untuk WHO dan mengeluarkan negara itu daripada menganggotainya.

Amerika merupakan penderma tunggal terbesar WHO.

Namun pengganti Trump, bakal presiden baharu Amerika, Joe Biden merancang untuk mengekalkan Amerika dalam agensi kesihatan tersebut.