GUANGZHOU: Tokoh media terkemuka Datuk Seri Wong Chun Wai menggesa organisasi berita supaya bekerjasama dengan pengawal selia untuk memerangi kes penipuan atau scammer yang semakin berleluasa.

Beliau berkata kerugian mencecah trilion dolar akibat penipuan di seluruh dunia menyebabkan ramai yang terjerat sehingga hilang simpanan dan harta benda mereka.

Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) itu berkata penipuan sedemikian adalah lanjutan daripada sikap individu yang menyalahgunakan media sosial untuk menyiarkan maklumat palsu, berniat jahat dan memfitnah di sebalik identiti tidak dikenali.

Beliau berkata maklumat salah dan penipuan akan terus meningkat pada masa akan datang berikutan kepesatan teknologi terutama melalui penggunaan teknologi Kecerdasan Buatan (AI).

Bercakap pada Sidang Kemuncak Media Dunia di sini, Wong berkata media arus perdana sudah lali dengan masalah yang ditimbulkan oleh maklumat tidak tepat sambil menambah undang-undang terkini termasuk hukuman penjara perlu dikenakan untuk menghukum dalangnya.

Wong berkata Bernama seperti saluran berita Malaysia yang lain, mempunyai bahagian semakan untuk membolehkan orang ramai mengesahkan berita yang mereka baca.

"Inilah sebabnya mengapa media arus perdana kekal penting. Pada masa ini kewujudan penyedia maklumat dan berita yang sahih di dunia amat penting.

"Di sinilah kerjasama media global boleh memainkan peranan kerana kita mesti memastikan kita terus berdiri teguh sebagai organisasi yang boleh dipercayai untuk masyarakat," katanya.

Wong turut memuji Pentadbiran Ruang Siber China kerana antara April dan Mei tahun ini sahaja telah menutup lebih 100,000 akaun media sosial berhubung berita palsu.

-- BERNAMA