JEDDAH: Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) menyambut baik penerimaan resolusi bersejarah oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), yang mengesahkan pendapat penasihat Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengenai kepenyalahan undang-undang pendudukan Israel.

Resolusi itu menyeru Israel menamatkan kehadirannya dan membongkar penempatan pendudukan haram di wilayah Palestin dalam tempoh maksimum 12 bulan, lapor Agensi Berita Arab Saudi (SPA).

OIC menganggap resolusi ini sebagai cerminan konsensus antarabangsa mengenai keadilan perjuangan Palestin dan sokongan yang tidak berbelah bahagi terhadap hak-hak sah rakyat Palestin, termasuk hak mereka untuk menentukan nasib sendiri dan penubuhan sebuah negara yang merdeka dan berdaulat dalam sempadan 1967, dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negaranya.

OIC menggesa semua negara agar menunaikan tanggungjawab mereka dan mengambil langkah individu dan kolektif untuk memastikan Israel mematuhi kewajipannya di bawah undang-undang antarabangsa dan resolusi antarabangsa yang berkaitan, termasuk pendapat penasihat ICJ.

Pertubuhan itu juga menyeru keadilan, perlindungan antarabangsa untuk rakyat Palestin, dan penamatan pendudukan serta penempatan haram Israel.

OIC menegaskan bahawa isu Palestin kekal sebagai keutamaan dalam agenda dan usaha politiknya, terutamanya semasa sesi ke-79 Perhimpunan Agung PBB.

Pertubuhan itu menyokong seruan untuk mengadakan persidangan antarabangsa bagi melaksanakan resolusi PBB yang berkaitan dengan Palestin dan penyelesaian dua negara sebagai sebahagian daripada usaha global yang lebih luas untuk mencapai keamanan yang adil, berkekalan, dan menyeluruh di rantau itu.

-- BERNAMA