ISTANBUL: Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) menurunkan unjuran pertumbuhan ekonomi globalnya bagi 2023, serta memberi amaran bahawa banyak negara di Eropah berkemungkinan akan menghadapi kemelesetan pada tahun depan.

Laporan interim OECD yang dikeluarkan pada Isnin, menyemak turun anggaran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global daripada 2.8 peratus kepada 2.2 peratus, dengan mempersalahkan "pencerobohan Rusia terhadap Ukraine", sebagai punca.

KDNK dunia tahun depan dijangkakan sekurang-kurangnya AS$2.8 trilion lebih rendah daripada unjuran sebelumnya.

Kepelbagaian bekalan yang tidak mencukupi serta pengurangan permintaan, boleh menyebabkan kekurangan yang seterusnya akan menaikkan harga bekalan tenaga, mengurangkan keyakinan serta kedudukan kewangan yang boleh mendorong perniagaan untuk mencatu penggunaan gas mereka buat sementara waktu, menurut laporan itu.

"Ini secara keseluruhannya boleh mengurangkan pertumbuhan dalam ekonomi Eropah sebanyak lebih 1.25 mata peratusan pada 2023, berbanding garis dasar, dan meningkatkan inflasi lebih 1.5 mata peratusan.

"Ini akan mendorong banyak negara di Eropah untuk mencatat kemelesetan pada 2023," menurut OECD.

Inflasi global dilaporkan akan meningkat lebih 0.5 mata peratusan pada 2023, dengan pertumbuhan menurun di bawah 0.5 mata peratusan.

--BERNAMA