Nepal jangka kedatangan ratusan pendaki meskipun masih dalam pandemik

Agensi
Mac 17, 2021 18:38 MYT
Kawasan pergunungan Himalaya menjadi dambaan ramai pendaki antarabangsa. - Gambar fail
KATHMANDU: Nepal menjangkakan kehadiran ratusan warga asing yang menyimpan hasrat untuk menakluki puncak tertinggi Himalaya walaupun tempoh pandemik belum berakhir.
Jabatan Pelancongan di Kathmandu pada Rabu menyatakan bahawa lebih daripada 300 warga asing sudah menyatakan minat untuk mendaki Gunung Everest pada musim bunga nanti, lapor AP.
Terdapat keinginan yang sama disuarakan di beberapa lokasi pergunungan lain, kata pengarah jabatan itu Mira Acharya.
Pasukan pendaki warga Jepun dan Kanada sudahpun memulakan perjalanan ke kem pangkalan Everest, kata Acharya.
Musim bunga, yang bermula bulan ini, merupakan tempoh yang paling menjadi pilihan dalam kalangan pendaki kerana keadaan cuaca yang menyenangkan. Tempoh itu berpanjangan sehingga penghujung bulan Mei, sebelum cuaca menjadi lebih buruk dan aktiviti pendakian menjadi lebih berisiko.
Mereka yang berhasrat untuk mendaki gunung bagaimanapun masih perlu menjalani tempoh kuarantin di hotel di Kathmandu untuk memastikan mereka bebas COVID-19.
#Nepal #pendaki #Everest #himalaya #pandemik #warga asing #pelancongan
;