BEIRUT: Perdana Menteri sementara Lubnan, Najib Mikati, menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengambil pendirian tegas terhadap kekejaman berterusan Israel ke atas negara itu.

Dalam satu kenyataan rasmi menerusi laman sesawangnya pada Khamis, gesaan itu  termasuk perang teknologi yang mengakibatkan ratusan kematian dan ribuan kecederaan rakyat negara itu.

Najib turut menegaskan, komuniti antarabangsa juga memikul tanggungjawab untuk menghentikan serangan Israel.

Tambahnya, isu ini melibatkan kemanusiaan secara keseluruhan.

Beliau dalam masa sama mendesak agar mesyuarat Majlis Keselamatan PBB mengeluarkan kenyataan tegas untuk menghentikan "perang kemusnahan' dilakukan Israel.

Sementara tu, Najib juga telah mengadakan pertemuan dengan beberapa pegawai kedutaan di negara itu termasuk Duta Besar United Kingdom ke Lubnan, Hamish Cowell.

Dalam pertemuan tersebut, Najib meminta agar United Kingdom mengambil pendirian tegas dalam sesi Majlis Keselamatan PBB yang akan datang.

Beliau turut menerima panggilan daripada Presiden Perancis, Emmanuel Macron pada Khamis bagi membincangkan situasi di Lubnan dan konflik serantau.

Dalam sesi perbualan tersebut, Macron mengutuk serangan bom di Lubnan dan menyatakan solidariti serta simpati ke atas Lubnan.

Beliau menyeru semua pihak untuk bertindak dengan berhati-hati dan mengelakkan peningkatan ketegangan konflik serantau serta bertegas bahawa tindakan tersebut tidak akan membawa kepada penyelesaian.

Terdahulu, media antarabangsa melaporkan jumlah kematian dalam insiden terbaharu di seluruh Lubnan melibatkan letupan ‘walkie-talkie’ pada Rabu meningkat kepada 20 orang, sementara 450 lagi mengalami kecederaan.

Letupan terbaharu berkenaan tercetus sehari selepas peranti elektronik yang digunakan oleh pejuang Hezbollah meletup di seluruh negara itu yang meragut  12 nyawa dan mencederakan lebih 2,800 orang.