SEOUL: Sekurang-kurangnya 96 penumpang maut dalam nahas pesawat yang terbakar selepas tergelincir dari landasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan, Korea Selatan pada Ahad.


Ringkasan AI
  • Sekurang-kurangnya 96 orang maut apabila pesawat Jeju Air terbakar selepas tergelincir dari landasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan, Korea Selatan.
  • Pesawat tersebut membawa 175 penumpang dan enam anak kapal dalam penerbangan dari Thailand.
  • Operasi mencari dan menyelamat sedang giat dijalankan di lapangan terbang Muan. Pihak berkuasa sedang berusaha menyelamatkan mangsa, dengan dua penumpang berjaya diselamatkan setakat ini.


Memetik laporan antarabangsa, kemalangan itu berlaku ketika pesawat Jeju Air 7C2216 dari Bangkok, yang membawa 175 penumpang dan enam anak kapal dalam penerbangan dari Thailand, mendarat sejurus selepas jam 9 pagi waktu tempatan di lapangan terbang itu.

Operasi mencari dan menyelamat sedang giat dijalankan di lapangan terbang Muan ketika ini. Difahamkan pihak berkuasa sedang berusaha menyelamatkan mangsa di bahagian ekor pesawat di mana dua penumpang berjaya diselamatkan.

Sementara itu, pihak berkuasa lapangan terbang memaklumkan pesawat itu cuba melakukan pendaratan cemas apabila menghadapi masalah pada gear pendaratan selepas percubaan pertamanya gagal.

Namun, pesawat malang itu dilaporkan gagal mengurangkan kelajuannya sehingga di hujung landasan dan melanggar struktur di bahagian luar lapangan terbang.