MEKAH: Liga Dunia Muslim (MWL) mengutuk sekeras-kerasnya kenyataan baru-baru ini daripada seorang menteri Israel yang menyokong pembinaan sebuah rumah ibadat atau sinagog di dalam perkarangan Masjid Al-Aqsa.

Agensi Akhbar Saudi (SPA) melaporkan bahawa setiausaha agung MWL dan pengerusi Persatuan Ulama Muslim, Sheikh Dr Mohammed Al-Issa, mengecam kenyataan ini, yang merupakan sebahagian daripada pencabulan berterusan Israel terhadap tapak suci Islam.

Al-Issa memberi amaran tentang akibat berbahaya daripada tindakan Israel yang berterusan mengabaikan undang-undang antarabangsa dan piawaian hak asasi manusia.

Beliau menegaskan bahawa sebarang pencerobohan ke atas status sejarah dan undang-undang Masjid Al-Aqsa adalah provokasi kepada sentimen umat Islam di seluruh dunia.

Beliau juga menegaskan keperluan mendesak bagi masyarakat antarabangsa untuk mengambil tindakan tegas terhadap pelanggaran ini dan menamatkan jenayah sistematik yang dilakukan oleh kerajaan Israel terhadap orang awam yang tidak bersalah.

-- BERNAMA