JERUSALEM: Pasukan penyelidik dari China, Singapura dan Israel menemukan molekul semula jadi yang dapat mengurangkan jangkitan mulut dengan ketara, lapor Xinhua memetik kajian yang diterbitkan dalam jurnal Antibiotics.

Molekul yang dipanggil "3,3'-Diindolylmethane" (DIM), merupakan sebatian toksik rendah yang diperoleh daripada pecahan bahan indole-3-carbinol, yang terdapat dalam sayur-sayuran seperti brokoli, kubis dan pucuk Brussels.

Para penyelidik mendapati bahawa DIM mengurangkan biofilm bakteria yang melapisi 92 peratus daripada gigi. Biofilm ini tumbuh dalam suasana mulut lembap dan bergula selepas makan dan menghasilkan plak yang menyerang enamel dan menyebabkan gigi belubang.

DIM boleh ditambah kepada ubat gigi dan ubat kumur untuk membantu mencegah plak dan kaviti gigi, kata para penyelidik.

Kajian terdahulu mendapati DIM mempunyai sifat antikarsinogenik yang boleh membasmi pelbagai pepejal tanpa kesan toksiknya menjejaskan sel normal.

Kajian itu dijalankan bersama oleh penyelidik di Universiti Sichuan di China, National University of Singapore dan Universiti Ben-Gurion di Negev.

-- BERNAMA