PARIS: Menjelang Sukan Olimpik Paris 2024 yang membuka tirai secara rasmi pada awal pagi Sabtu waktu Malaysia, bintang filem antarabangsa, Tan Sri Michelle Yeoh menitipkan kata-kata semangat buat Pasukan Olimpik Pelarian yang bakal beraksi pada temasya tersebut.

Aktres kelahiran Malaysia berusia 61 tahun itu dalam video yang dimuat naik di laman sosialnya menyeru para peminatnya dan masyarakat dunia untuk memberikan sokongan buat pasukan itu, yang disifatkan sebagai sangat istimewa.

"Mereka berjuang lebih sukar dan mengembara jauh untuk sampai ke Paris. Mereka adalah Pasukan Olimpik Pelarian.

"Sila sokong mereka dengan sepenuh hati anda dan apabila anda melihat mereka, tunjukkan sokongan anda dengan berkongsi (simbol) hati dengan mereka.

"Pasukan ini mewakili lebih 100 juta orang yang berpindah. Mari kita bersorak untuk mereka, dengan kuat dan bangga," kata Yeoh yang juga pelakon Wanita Terbaik pada Anugerah Academy atau Oscar dalam rakaman berkenaan.



Sementara itu, dalam entri berasingan Yeoh turut dilihat sempat meluangkan masa meninjau perkampungan Olimpik termasuk penginapan atlet Malaysia.

"Ia sesuatu yang menakjubkan...," tulisnya lagi.

Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) mengumpul pasukan pelarian terbesar iaitu 37 atlet yang bakal bersaing di Olimpik Paris 2024.

Atlet dari negara seperti Syria, Sudan, Cameroon, Ethiopia, Iran and Afghanistan akan bertanding dalam 12 acara, iaitu kali ketiga pasukan seumpama itu ditubuhkan di temasya Olimpik musim panas.

IOC memperkenalkan pasukan pelarian pertama di temasya Rio 2016 membabitkan 10 atlet untuk meningkatkan kesedaran mengenai ratusan ribu pelarian dari Timur Tengah membanjiri Eropah.