Bersempena ulang tahun kehilangan penuh misteri pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 pada 8 Mac, Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) mengutuskan simpati berterusannya kepada keluarga penumpang dan anak kapal pesawat itu.

Badan itu juga berjanji akan terus memberi sokongan kepada semua negara dan agensi yang masih terlibat dengan usaha mencari pesawat itu.

Dalam kenyataan di sini hari ini, ICAO berkata 2014 adalah antara tahun paling selamat bagi penerbangan berikutan tidak banyak kemalangan yang dialami, tetapi kejadian yang menimpa MH370 dan MH17 menunjukkan wujudnya beberapa perkara luar biasa yang boleh berlaku dalam operasi penerbangan.

Katanya komuniti penerbangan sedang menangani perkara itu dan akan terus memastikan keselamatan penumpang dan pesawat sentiasa diberi keutamaan.

Berikutan kejadian yang menimpa MH370, negara yang menandatangani Konvensyen Chicago mengemukakan beberapa syor penting pada Persidangan Keselamatan Peringkat Tinggi (HLSC) ICAO di ibu pejabatnya di Montreal, Kanada bulan lepas.

Pada persidangan itu, peserta mencadangkan agar Sistem Kecemasan dan Keselamatan Penerbangan (GADSS) ICAO diguna pakai, termasuk objektif pengesanan dalam tempoh 15 minit bagi operasi penerbangan biasa dan keperluan pengesanan kecemasan dan penerbangan tidak normal dalam tempoh satu minit.

Konsep operasi GADSS dibangunkan pada 2014 oleh Kumpulan Kerja ICAO, yang dibentuk sebaik sahaja berlakunya peristiwa kehilangan MH370.

Syarat pengesanan 15 minit dan satu minit itu diunjur akan diguna pakai mulai 2016 dan 2021.

ICAO berkata syarat pengesanan baharu ini serta eksesais awal dan pelaksanaan berkaitannya, yang dijangka disiapkan ICAO menjelang Ogos tahun ini, akan memudahkan negara dan operator untuk bergerak ke hadapan dan meningkatkan kemampuan profesional dalam bidang mencari dan menyelamat mengesan lokasi pesawat yang terhempas di kawasan terpencil.