KAHERAH: Mesir pada Sabtu mendesak Israel berundur dari Koridor Philadelphi dan bahagian sempadan Palestin di persimpangan Rafah, serta menghentikan serangan berterusan ke atas Semenanjung Gaza, lapor Xinhua memetik kenyataan sumber.

Tuntutan Mesir dikemukakan pada Sabtu dalam satu pertemuan dengan delegasi keselamatan Israel yang melawat Kaherah untuk mengadakan perbincangan dengan pihak Mesir mengenai perjanjian gencatan senjata Israel-Hamas.

Terdahulu pada hari itu, delegasi Israel termasuk ketua Agensi Keselamatan Israel dan perkhidmatan perisikan Israel Mossad, tiba di Kaherah untuk rundingan mengenai kemungkinan perjanjian gencatan senjata yang merangkumi pertukaran tawanan Israel dan Palestin, menurut sumber itu.

Tentera Israel menguasai Palestin di persimpangan Rafah pada Mei, yang mengakibatkan kemasukan trak bantuan kemanusiaan dari Mesir ke Gaza terhenti.

Mesir, bersama Qatar dan Amerika Syarikat mengetuai usaha pengantaraan untuk mencapai gencatan senjata dan perjanjian pertukaran tawanan antara Israel dan Hamas, dengan tujuan mencapai gencatan senjata berkekalan di Gaza.

-- BERNAMA