WASHINGTON: Menteri Pertahanan Arab Saudi, Khalid bin Salman mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Negara
Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken di sini, pada Rabu, menjelang lawatan diplomat kanan AS itu ke Israel.

Khalid yang juga adinda kepada Putera Mahkota Mohammad Bin Salman itu berkata, pertemuan berkenaan adalah bagi “meninjau semula hubungan rapat dan strategik kedua-dua negara, selain mencari usaha meredakan tekanan yang sedang berlaku di wilayah berkenaan.”

Pertemuan kedua-dua pemimpin itu diadakan ketika beberapa pemimpin di Asia Barat  kritikal terhadap sokongan barat kepada Israel.


Jordan yang juga sekutu utama AS, telah memanggil semula dutanya dari Israel pada Rabu lalu.

Arab Saudi pula kini dalam proses menormalisasi hubungannya dengan Israel, namun, telah mengeluarkan beberapa kritikan yang membidas tindakan Israel sejak beberapa minggu lalu.

Minggu lalu, Arab Saudi mengeluarkan amaran kepada delegasi AS bahawa tindakan Israel melancarkan serangan darat ke atas Gaza “sangat merbahaya.” - Agensi