MENTERI Kewangan Britain Rishi Sunak pada Ahad meminta Perdana Menteri Boris Johnson untuk satu semakan bagi memastikan sama ada beliau telah berpegang kepada peraturan mengenai pengisytiharan menteri.

Ia susulan kritikan berhubung aturan kewangan keluarganya.

Sunak berkata, beliau telah menulis surat kepada perdana menteri, meminta supaya deklarasi menterinya dirujuk oleh Christopher Geidt, penasihat bebas mengenai kepentingan menteri.

"Saya sentiasa mengikut peraturan dan saya harap semakan sebegini akan memberikan kejelasan lebih lanjut," katanya menerusi Twitter.

Sunak telah mengalami minggu yang tertekan di mana peningkatan cukai yang ketara berkuat kuasa kerana aturan cukai keluarganya juga berada di bawah penelitian.

Sunday Times melaporkan Sunak mempertimbangkan untuk meletakkan jawatan.

Isterinya, Akshata Murty, memiliki kira-kira 0.9% pegangan dalam syarikat gergasi IT India Infosys dan telah mengesahkan bahawa dia mempunyai status cukai bukan penduduk, bermakna dia tidak membayar cukai ke atas pendapatan dari luar Britain.

Walaupun status itu sah, pengkritik berkata, pengaturan itu tidak selari dengan keputusan Sunak untuk menaikkan cukai ke atas pekerja dan majikan mulai 6 April, ketika inflasi yang tinggi menyebabkan tekanan kos sara hidup bagi kebanyakan isi rumah.

Pada Jumaat lalu, beliau berkata, akan membayar cukai ke atas pendapatan asing.

Menurut laporan akhbar, Sunak disenaraikan sebagai benefisiari amanah luar pesisir yang dikaitkan dengan kepentingan perniagaan keluarga isterinya.

Pada Jumaat, beliau mengesahkan hanya menyerahkan 'kad hijau' untuk Amerika Syarikat (AS), iaitu status imigresen yang ditujukan untuk penduduk tetap AS, selepas beliau menjadi menteri kewangan Britain pada 2020.