MOSCOW: Menteri Dalam Negeri Uruguay Luis Alberto Heber, Timbalan Menteri Guillermo Maciel dan penasihat presiden untuk komunikasi dan strategi, Roberto Lafluf meletak jawatan di tengah-tengah skandal pemberian pasport kepada pengedar dadah yang dihendaki di pelbagai negara, Sputnik memetik laporan akhbar La Diaria pada Ahad.

Presiden Luis Lacalle Pou berkata bahawa beliau telah menerima surat peletakan jawatan para pegawai terbabit pada Sabtu, lapor saluran berita Uruguay itu.

Ketua pengarah sekretariat kementerian dalam negeri, Nicolas Martinelli akan memegang jawatan Menteri Dalam Negeri, manakala Menteri Perindustrian, Tenaga dan Perlombongan Omar Paganini akan menyandang jawatan Menteri Luar.

Pada Khamis, Menteri Luar Uruguay Francisco Bustillo meletak jawatan selepas panggilan telefon mengenai percubaan beliau menghalang siasatan berhubung pemberian pasport kepada pengedar dadah Sebastian Marset yang disabitkan kesalahan didedahkan.

Kes terbabit dilaporkan telah mencetuskan krisis politik bagi presiden negara tu.

Terdapat laporan bahawa Marset menerima pasport baharu pada 2021 menerusi Kementerian Luar Uruguay dalam tempoh sehari semasa dia berada dalam tahanan di Emiriah Arab Bersatu.

-- BERNAMA