Mayat pendaki Eropah ditemui di gunung Nanga Parbat, Pakistan
Astro Awani
Mac 10, 2019 13:38 MYT
Mac 10, 2019 13:38 MYT
Mayat dua pendaki Eropah, masing-masing dari Itali dan Britain, yang hilang ketika mendaki gunung Nanga Parbat, yang dikenali sebagai 'Killer Mountain', di Pakistan telah dijumpai.
Menurut Duta Besar Itali ke Pakistan pada Sabtu, ketika kejadian dua minggu lalu, Daniele Nardi (Itali) dan rakan sepasukannya Tom Ballard (Britain) sedang cuba menjayakan pendakian musim sejuk yang sangat jarang dilakukan di gunung setinggi 8,612 meter di Himalaya itu.
"Dukacita dimaklumkan, pencarian untuk @NardiDaniele dan Tom Ballard kini berakhir setelah pasukan pencarian mengesahkan bahawa kelibat yang sebelum ini dilihat pada ketinggian 5,900 meter adalah milik Daniele dan Tom," tulis Stefano Pontecorvo di akaun Twitter.
Difahamkan, mayat para pendaki itu berada di altitud yang tinggi di laluan Mummery yang berbahaya di Nanga Parbat itu, yang tidak pernah berjaya dilalui sebelum ini.
Kali terakhir berita mengenai kedua-dua pendaki itu diterima ialah pada 24 Februari apabila Nardi, pendaki berpengalaman yang berprofil tinggi di Itali, menghubungi isterinya.
Sementara itu, Ballard ialah anak kepada pendaki British terkenal, Alison Hargreaves, wanita pertama mendaki Gunung Everest tanpa bantuan pada 1995, tetapi meninggal dunia pada tahun yang sama ketika turun dari puncak K2 di Pakistan, gunung kedua tertinggi di dunia.
Pendakian musim sejuk pertama yang berjaya di Nanga Parbat ialah pada Februari 2016.
Pada 2018, seorang pendaki Poland meninggal dunia di gunung itu tetapi rakannya, seorang wanita Perancis, berjaya diselamatkan.
Pada Jun 2017, seorang lelaki Sepanyol dan seorang warga Argentina telah terbunuh dalam kejadian runtuhan ketika cuba mencapai puncak gunung itu.
#Britain
#gunung
#hilang
#himalaya
#Itali
#Killer Mountain
#mayat
#meninggal dunia
#Nanga Parbat
#Pakistan
#pendaki
#pendakian musim sejuk