CALIFORNIA: Seorang lelaki di California maut dirempuh sebuah kereta selepas membantu sekawan itik melintas jalan dalam satu kejadian Khamis lalu.

Casey Rivara, 41, keluar dari kenderaannya sebelum dilanggar oleh seorang pemandu remaja di Rocklin, 40 kilometer di timur laut Sacramento, kenyataan polis menyebut.

Tiada tangkapan dibuat setakat ini.

“Lelaki itu dilaporkan membantu sekawanan itik untuk melintas jalan.

"Ketika dia berdiri di persimpangan, sebuah kereta yang dipandu seorang remaja hilang kawalan dan merempuhnya," kata polis.

Seorang saksi, Summer Peterson, memberitahu CBS News, anak-anaknya menjadi saksi kemalangan itu.

"Anak-anak saya berkata, 'Oh, comelnya. Lelaki itu sangat baik.' Dan kemudian secara tiba-tiba dia dilanggar oleh sebuah kereta," cerita Peterson.

Casey disifatkan keluarga dan kenalan sebagai suami dan bapa yang baik.

"Dia meninggal dunia selepas melakukan kebaikan, jelas membuktikan hati budinya yang mulia," kata seorang rakan.

Jabatan Polis Rocklin berkata tiada tangkapan dibuat dan kejadian itu masih dalam siasatan.