Masjid di Singapura akan menyambung semula solat Jumaat dan solat berjemaah setiap hari mulai 26 Jun, dengan maksimum 50 jemaah setiap sesi di setiap masjid.

Dalam laman webnya, Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) memaklumkan pihaknya akan terus mengambil pendekatan berhati-hati untuk memastikan masjid-masjid kekal selamat dan mematuhi sepenuhnya garis panduan nasional.

Menurut MUIS, bagi membolehkan lebih ramai jemaah menunaikan solat Jumaat, dua sesi setengah jam akan diadakan setiap Jumaat, dengan selang 30 minit rehat di antara kedua-dua sesi untuk memastikan pengurusan orang ramai yang selamat.

Khutbah dan solat akan dipendekkan kepada maksimum 20 minit, katanya.

Selain solat Jumaat dan solat berjemaah setiap hari, MUIS memaklumkan ibadah secara bersendirian di luar sesi solat berjemaah akan terus dibolehkan, namun tertakluk juga kepada had 50 orang pada satu-satu masa.

Menurut MUIS, pihaknya telah membangunkan sistem penempahan solat di masjid dalam talian untuk menguruskan permintaan selain memastikan pelaksanaan teratur solat berjemaah.

Sistem berkenaan membolehkan tempahan ruang solat tersedia untuk solat berjemaah setiap hari dan Jumaat, jelasnya.

Bagi membolehkan lebih ramai jemaah menunaikan solat Jumaat mereka, sistem itu akan mengehadkan jumlah tempahan yang dapat dilakukan oleh individu untuk solat Jumaat hanya untuk satu tempahan dalam jangka waktu tiga minggu.

Singapura memasuki Fasa Kedua pembukaan semula pada 19 Jun dengan pelonggaran sekatan yang dikenakan untuk mengekang penyebaran COVID-19.

-- BERNAMA