Mangsa tebusan Sydney terus dikenang, memorial kekal bakal dibina

Astro Awani
Disember 23, 2014 14:51 MYT
Jambak-jambak bunga dan nota ucapan dibersihkan dari Martin Place untuk diserahkan kepada keluarga mangsa yang terkorban. - EPA/DAN HIMBRECHTS
Orang ramai termasuk ahli keluarga dan kenalan dua mangsa korban drama tebusan Sydney minggu lalu memberi penghormatan terakhir dalam dua upacara pengebumian hari ini.
Pada masa sama, ribuan jambak bunga yang diletakkan orang awam di Martin Place sebagai memperingati mangsa mula dibersihkan dan usaha untuk membina memorial kekal sedang dalam perancangan.
Warga Iran, Man Haron Monis, yang mempunyai sejarah ektremisme dan keganasan, telah terbunuh selepas menjadikan 17 pengunjung kafe itu sebagai tebusan.
Dalam serbuan pihak berkuasa, pengurus kafe Tori Johnson dan seorang peguam Katrina Dawson menjadi korban.
Insiden yang menggemparkan seluruh Australia itu mencetus simpati orang ramai yang meletakkan karangan dan jambak bunga di kawasan berdekatan kafe tersebut di Martin Place.
Namun selepas seminggu tragedi itu berlaku, pemimpin tertinggi negeri New South Wales, Mike Baird memberitahu sudah sampai masanya semua bunga tersebut dibersihkan.
Sekumpulan pekerja yang terdiri daripada anggota Palang Merah, sukarelawan dan pegawai rasmi negeri terlibat dalam usaha berkenaan.
Bunga-bungaan, nota dan kad ucapan dikumpul untuk disimpan di tapak yang lebih sesuai selepas sebuah perbincangan dibuat dengan keluarga mangsa.
“Dalam masa yang sesuai, kami akan berbincang dengan keluarga mangsa tentang perancangan membina sebuah memorial kekal,” kata Baird.
Buku untuk menulis ucapan takziah pula terus dibuka di bangunan parlimen dan panggung Sydney Opera House sehingga penghujung Januari tahun depan.
"Buku ucapan takziah itu akan disusun dalam beberapa jilid dan senaskhah salinannya akan diberikan kepada setiap keluarga mangsa,” tambahnya.
Upacara pengebumian tertutup telah dijalankan untuk Johnson dengan kehadiran tetamu yang lengkap berpakaian hitam di Gereja St Stephen. Majlis penuh privasi itu turut dihadiri Baird dan Pesuruhjaya Polis New South Wales, Andrew Scipione.
Bapa Johnson, rakan niaga Thomas Zinn dan beberapa saudara-mara lain mengusung keranda tersebut ke dalam gereja.
Tema pengebumian itu adalah penyatuan, dengan keluarga Johnson memetik kata-kata penyair Roman dalam upacara tersebut bermaksud: “Melepasi pemahaman mengenai tindakan yang salah atau betul, terdapat sebuah padang. Saya akan bertemu anda di situ.”
Sementara itu, upacara pengebumian untuk Dawson akan dijalankan lewat hari ini, dengan tetamu digalakkan memakai pakaian berwarna biru laut, warna kegemaran mendiang.
Monis selama ini sudah dalam senarai pihak berkuasa kerana kes-kes kesalahan seperti jenayah seksual dan bersubahat dalam perancangan membunuh bekas isterinya.
Keberadaan Monis di jalanan dan tidak di bawah pemantauan telah membuatkan Perdana Menteri Tony Abbott mengarahkan inkuiri segera dijalankan berhubung kemungkinan wujudnya insiden berkaitan.
#Australia #kafe #Katrina Dawson #Lindt #Man Haron Monis #Sydney #tebusan #Tori Johnson
;