Ringkasan AI
- Malaysia bertanggungjawab mewakili negara-negara Islam dan Selatan Global dalam usaha reformasi tatakelola sistem dunia. Usaha perlu digandakan untuk membebaskan negara-negara miskin dari sistem yang memberi kelebihan kepada negara-negara barat, yang kaya akibat kolonialisme dan penjajahan. Malaysia menyokong Sidang Kemuncak Masa Depan (SOTF) dan memorandum Pakatan untuk Masa Depan untuk membentuk semula tadbir urus global yang lebih adil dan berkesan.
Profesor Jabatan Hubungan Antarabangsa, Keselamatan dan Undang-undang Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Prof Dr Mohd Mizan Mohammad Aslam berkata, usaha perlu digandakan untuk membebaskan negara-negara miskin dari sistem yang hanya memberi kelebihan kepada negara-negara Barat.
“Kita ada Selatan Global, dan kita ada Utara Global yang kita tahu melibatkan negara-negara Eropah yang secara relatifnya lebih kaya.
“Kaya mereka itu perlu kita perhatikan. Mereka kaya kerana disebabkan kolonialisme, penjajahan dan penjarahan terhadap kekayaan di negara-negara seluruh dunia termasuk Malaysia.
“Tetapi Selatan Global melibatkan negara-negara miskin yang masih lagi bergantung kepada sistem ekonomi barat. Ini memerlukan kita melihat kembali reformasi menyeluruh sistem dunia.
"Dalam hal ini, kita perlu sentiasa konsisten,” katanya dalam program Agenda AWANI pada Isnin.
Malaysia wakili suara Selatan Global dalam reformasi sistem dunia - Pakar
Menurut Mohd Mizan, meskipun suara Malaysia umpama anjing menyalak bukit ketika berdepan dengan kuasa-kuasa besar dunia, namun kepimpinan negara perlu sentiasa konsisten dalam membawa mesej perubahan yang adil dan saksama untuk semua.
Pada Isnin, Malaysia menyatakan sokongan terhadap penganjuran Sidang Kemuncak Masa Depan atau Summit of the Future (SOTF) dan penghasilan memorandum Pakatan untuk Masa Depan (Pact for the Future).
Menurut Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, ini adalah peluang untuk mereka bentuk semula tadbir urus global yang berkesan untuk masa kini dan masa depan.
Ini kerana, katanya, konflik dan cabaran yang terus menimpa dunia saban tahun, semakin mencabar dan berisiko membawa maut.
Terdahulu, PBB mengumumkan penganjuran SOTF buat julung kalinya sempena penganjuran Perhimpunan Agung PBB (UNGA) ke-79 tahun ini.
Perhimpunan ini dianjurkan bagi membina dapatan daripada penganjuran UNGA ke-78 pada tahun lalu dan Sidang Kemuncak SDG 2023.
Ia antara lain bagi meningkatkan kerjasama antarabangsa dan membantu mencapai dan merealisasikan Agenda 2030 bagi pembangunan mampan.