Menurut Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, hubungan perdagangan dan pelaburan antara Malaysia dan GCC amat signifikan dengan kerjasama ekonomi yang mampu memberi manfaat besar kepada kedua-dua pihak.
“Kami berbincang berkenaan dengan usaha kerjasama yang perlu dipertingkatkan di antara Malaysia dan negara-negara Teluk, yang merupakan suatu blok yang amat penting sekarang ini, dan kita tidak boleh terlepas pandang tentang hubungan strategik ini.
"Dokumen FTA tersebut sedang dimuktamadkan dan dijangka ditandatangani dalam masa terdekat. Kita akan dapat menandatangani satu Memorandum Persefahaman (MoU) dengan negara-negara Teluk ini,” katanya.
Mohamad berkata demikian selepas mengadakan pertemuan empat mata bersama Setiausaha Agung GCC Jasem Mohamed Albudaiwi di luar sidang Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke-79, di sini, pada Isnin.
Selain itu, Mohamad memaklumkan bahawa, Jasem akan menghadiri Sidang Kemuncak GCC-ASEAN sempena Sidang Kemuncak ASEAN di Kuala Lumpur, pada tahun depan.
Jasem juga ujarnya, turut menyatakan kesediaan pihaknya menguruskan jemputan rasmi kepada negara-negara anggota GCC melibatkan Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), bagi menyertai sidang kemuncak tersebut.
Terdahulu pada Ogos, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata Malaysia menyasarkan untuk menjalin FTA dengan enam anggota GCC itu sebagai satu blok serta perjanjian dua hala di Asia Barat bagi meningkatkan hubungan komersial dengan rantau ekonomi utama itu.
Tambahnya, Malaysia akan turut memuktamadkan perjanjian dua hala dengan UAE penghujung tahun ini.
Arab Saudi yang merupakan ekonomi terbesar di rantau itu juga sedang menyelaraskan rundingan FTA Malaysia dengan GCC, kata Tengku Zafrul.