BANGKOK: Malaysia berkempen untuk menjadi ahli Lembaga Eksekutif Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-Habitat) pada Forum Pembangunan Lestari Asia Pasifik (APFSD) ke-10 yang diadakan di Bangkok.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming menghadiri APFSD di mana lebih 1,300 wakil dari 51 negara menyertai forum anjuran Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Asia dan Pasifik.

Ia adalah kali kedua Malaysia melancarkan bidaan untuk menjadi Ahli Lembaga Eksekutif bagi UN-Habitat. Pencalonan terakhir Malaysia adalah pada 2019.

Malaysia tidak pernah tersenarai dalam ahli Lembaga Eksekutif UN-HABITAT.

Pemilihan itu akan berlangsung di Perhimpunan Habitat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, yang dijadual diadakan di Nairobi, Kenya dari 5 hingga 9 Jun.

Nga berkata Malaysia menyasarkan untuk menjadi ahli Lembaga Eksekutif UN-Habitat yang mewakili Asia-Pasifik.

"Kami berada di sini di APFSD di Bangkok untuk meyakinkan rakan sejawat kami bagi menyokong kempen Malaysia sebagai ahli Lembaga Eksekutif," katanya kepada Bernama dalam satu temu bual.

APFSD ke-10 yang diadakan dari 27-30 Mac bertemakan "Accelerating the recovery from coronavirus disease (COVID-19) and full implementation of the 2030 Agenda for Sustainable Development at all levels in Asia and the Pacific".

Pencalonan Malaysia sebagai ahli Lembaga Eksekutif UN-Habitat adalah penting berikutan ia mencerminkan komitmen Malaysia dalam mengarusperdanakan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan Agenda Bandar Baharu (NUA), dan usaha untuk merealisasikan SDG11 - Bandar dan Komuniti Lestari.

Keahlian Malaysia dalam Lembaga Eksekutif UN-Habitat akan memberi peluang kepada Malaysia menyatakan visi, aspirasi dan matlamat seiringan masyarakat antarabangsa, khususnya dalam memperjuangkan multilateralisme dengan keanggotaan dalam UN-Habitat.

Ia juga akan memberi peluang kepada Malaysia untuk terlibat dalam menetapkan hala tuju Agensi PBB serta mereka bentuk program, pada masa yang sama memastikan kepentingan Malaysia dan rantau Asia Pasifik diambil kira dalam usaha untuk merealisasikan Matlamat Pembangunan Mampan.

UN-Habitat diberi mandat oleh Perhimpunan Agung PBB untuk mempromosikan bandar mampan dari segi sosial dan alam sekitar.

UN-Habitat adalah titik fokus untuk semua urusan perbandaran dan penempatan manusia dalam sistem PBB.

Agensi ini bekerjasama dengan rakan kongsi untuk membina bandar dan komuniti yang inklusif, selamat, berdaya tahan dan mampan.

UN-Habitat menggalakkan urbanisasi sebagai kuasa transformasi yang positif untuk orang ramai dan komuniti, mengurangkan ketidaksamaan, diskriminasi dan kemiskinan.

-- BERNAMA