Pakar arkeologi pada Jumaat mendedahkan penemuan sebuah makam usang yang persekitarannya terawet dengan baik, dan dipercayai wujud sejak zaman Ptolemaic.

Lokasi itu ditemui di pekan Sihang, di kawasan gurun berdekatan Sungai Nil, kira-kira 390 kilometer di selatan Kaherah.

Makam yang dibina untuk seorang lelaki bernama Tutu dan isterinya itu adalah salah satu daripada tujuh makam yang ditemui di sekitar kawasan tersebut pada Oktober tahun lalu, selepas insiden pihak berkuasa mengenal pasti penyeludup yang membuat penggalian haram untuk mencuri artifak.


Lukisan dinding yang masih dalam keadaan baik ini menceritakan tentang sejarah pemilik makam itu. - Reuters

Dindingnya yang dihiasi motif berwarna menunjukkan kisah sewaktu pengebumian dan imej pemiliknya yang sedang bekerja di ladang. Susur galur keluarganya juga ditulis dalam bentuk hieroglif.

Setiausaha Agung Majlis Tertinggi Antikuiti Mesir, Mostafa Waziri, menyifatkan makam itu sebagai índah dan berwarna-warni’.

“Makam itu terdiri daripada ruang utama yang terbahagi dua, dan kamar pengebumian dengan dua keranda batu.

“Motif di dinding juga menunjukkan pemilik kamar persemadian itu, Tutu, yang memberi dan menerima hadiah daripada dewa dan dewi yang berlainan.

“Kita melihat perkara yang sama untuk isterinya, Ta-Shirit-Iziz, dengan iringan kata-kata dari kitab kehidupan alam baka,” ujarnya.

Antara mumia haiwan berupa tikus dan burung yang dikeluarkan dari makam Tutu. - Reuters

Dua mumia, iaitu seorang wanita berumur antara 35 hingga 50 tahun, dan seorang budak lelaki berusia antara 12 hingga 14 tahun, juga dipamerkan dalam satu sudut di makam itu.

Kira-kira 50 mumia haiwan, termasuk tikus dan burung rajawali juga ditemui dalam makam tersebut.

Era Ptolemaic menjangkau tiga kurun sehingga penaklukan Rom pada tahun 30 Sebelum Masihi.

Penemuan makam lama menambah nilai tarikan pelancongan di Mesir yang cuba bangkit semula selepas ekonomi negara itu terjejas akibat kekacauan politik sebelum ini.

Mumia wanita dan budak lelaki yang dikeluarkan dari makam Tutu di bandar Sohag. - Reuters

Pakar arkeologi melihat satu mumia burung yang disimpan dalam makam tersebut. - Reuters