Sebuah lori yang sarat berisi bom telah meletup pada awal pagi Isnin di sebuah rumah penginapan yang menempatkan warga asing di ibu negara Afghanistan.

Kejadian yang disahkan pihak berkuasa dan dilapor dalam media tempatan itu bagaimanapun tidak menyebut sebarang khabar tentang mereka yang terkorban.

“Sebuah lori yang dipenuhi bahan letupan merempuh pintu hadapan rumah penginapan Northgate,” ujar sumber kepada AFP.

Rumah penginapan itu tidak dapat dihubungi buat masa ini.

Northgate yang terletak berdekatan pangkalan udara Bagram yang dikendali Amerika Syarikat di utara Kabul, merupakan kawasan yang mempunyai kawalan ketat termasuk tembok kukuh dan menara pemantau.

Militan Taliban mengaku bertanggungjawab dalam serangan itu.

Media tempatan melaporkan pertempuran berlaku di lokasi letupan berkenaan antara pemberontak Taliban dengan pasukan keselamatan Afghanistan.

Letupan tersebut berlaku kira-kira jam 1.30 pagi waktu tempatan, berdekatan Pol-e Charkhi iaitu kira-kira 20 minit perjalanan di pinggir Kabul.

Bunyi letupan berkenaan dapat didengari dari pelbagai penjuru bandar itu dan penduduk tempatan melaporkan bekalan kuasa di kediaman mereka terputus sejurus ledakan tersebut.