Tawaran awam permulaan (IPO) Bursa Malaysia Bhd kembali mencatatkan lonjakan, mencerminkan keyakinan semula pelabur terhadap bursa tempatan itu ketika 2024 semakin melabuhkan tirainya.

Dengan 44 IPO setakat ini, Bursa Malaysia telah mengatasi pasaran serantau lain di Asia Tenggara, muncul sebagai destinasi IPO yang menarik di tengah-tengah landskap ekonomi dan politik yang stabil.

Ketua penyelidikan pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Mohd Sedek Jantan berkata beberapa faktor telah menyumbang kepada lonjakan ini.

"Risiko menjalankan perniagaan pada suku keempat telah berkurangan apabila ketidaktentuan ekonomi dan politik global terutamanya berkaitan pilihan raya presiden Amerika Syarikat telah berakhir manakala peranan aktif Malaysia dalam forum antarabangsa telah mengukuhkan kedudukan global negara," katanya kepada Bernama.

Beliau berpandangan petunjuk ekonomi Malaysia yang stabil, termasuk angka perdagangan dan kadar pekerjaan positif serta pengeluaran industri yang kukuh telah merangsang persekitaran perniagaan yang menggalakkan aktiviti IPO.

"Kestabilan politik dan rangka kerja dasar kerajaan yang jelas meningkatkan lagi keyakinan pelabur," katanya.


IPO pasaran serantau

Lonjakan IPO di Bursa Malaysia menunjukkan daya tahan bursa tempatan berbanding pasaran serantau yang lain.

Mohd Sedek berkata setakat tahun ini Malaysia telah merekodkan 36 IPO, mengumpulkan kira-kira US$450 juta pada separuh pertama sahaja, yang menyumbang 33 peratus daripada jumlah hasil IPO Asia Tenggara.

"Prestasi ini menongkah arus berbanding IPO lemah di seluruh Asia-Pasifik, dengan hasil susut sebanyak 63 peratus, sebahagian besarnya disebabkan oleh cabaran di China dan Hong Kong.

"Aktiviti IPO Malaysia juga mengatasi Indonesia dan Singapura tahun ini," katanya.

Menurutnya, Indonesia menghadapi ketidaktentuan politik berikutan pilihan raya presidennya baru-baru ini manakala Singapura pula berdepan dengan kos kawal selia yang tinggi dan permintaan lemah daripada pelabur.

Sebaliknya, beliau berkata pasaran IPO Malaysia mendapat manfaat daripada keadaan makroekonomi yang stabil, peraturan mesra perniagaan dan sokongan daripada Rangka Kerja Ekonomi MADANI.

Mohd Sedek berkata pertumbuhan IPO mencerminkan keyakinan terhadap sektor utama Malaysia, dengan penyenaraian terkini daripada industri pembinaan, pembuatan dan penjagaan kesihatan.

Beliau berkata dalam sektor pembinaan, yang berkembang 22.9 peratus pada suku ketiga, pelaburan swasta dan awam dalam projek kediaman, bukan kediaman dan infrastruktur berskala besar dijangka terus memacu pertumbuhan.

"Inisiatif utama yang diperkenalkan kerajaan seperti inisiatif kewangan swasta sebanyak RM9 bilion dan RM25.5 bilion daripada syarikat pelaburan berkaitan kerajaan dijangka terus mengekalkan momentum," katanya.

Dalam sektor pembuatan, transformasi Malaysia di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) bermatlamat memacu pertumbuhan dalam industri bernilai tinggi dan berteknologi tinggi.

"Fokus kerajaan kepada pendigitalan, teknologi hijau, dan teknik pembuatan termaju dijangka menarik lebih banyak pelaburan, mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab pembuatan berdaya saing di ASEAN," katanya.

Sektor penjagaan kesihatan Malaysia juga berkembang berikutan peralihan demografi dan kesedaran menjaga kesihatan yang meningkat.

Penyepaduan teknologi, seperti teleperubatan dan penyelesaian kesihatan digital, dilihat akan mendorong pertumbuhan sektor itu menerusi peningkatan kebolehcapaian dan kecekapan penjagaan.

"Trend ini, ditambah dengan sokongan kerajaan dalam pelancongan perubatan, meletakkan Malaysia sebagai pemain utama dalam industri penjagaan kesihatan di rantau ini," kata Mohd Sedek.


Penyenaraian 11.11

Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Datuk Muhamad Umar Swift berpuas hati dengan momentum IPO dan menyatakan dalam minggu ini sahaja sebanyak tiga IPO disenaraikan di Pasaran Utama.

"Lonjakan ini mencerminkan pasaran modal Malaysia yang berkembang maju, disokong kawal selia yang kukuh dan kumpulan pelabur yang pelbagai. Peningkatan ini menjadikan bursa kita mempunyai jumlah IPO tertinggi setakat tahun ini di ASEAN," katanya.

Menyokong sentimen itu, Pengerusi pengawal selia bursa Tan Sri Abdul Wahid Omar menegaskan kepentingan penyenaraian pada Isnin, tarikh yang dianggap bertuah iaitu 11.11. (11 November).

"Kedua-dua syarikat memilih tarikh berkenaan kerana ia dilihat membawa tuah, satu peristiwa yang jarang berlaku apabila dua penyenaraian berlaku dalam sehari.

"Kali terakhir Bursa melaksanakan dua penyenaraian pada hari yang sama ialah pada November 2017, berikutan pemisahan Sime Darby Group, yang menyaksikan Sime Darby Plantation Bhd dan Sime Darby Property Bhd membuat penampilan pada hari yang sama," katanya.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata lonjakan IPO itu menunjukkan prospek ekonomi Malaysia yang positif, berikutan dasar yang stabil dan matlamat yang jelas bagi mencapai negara berpendapatan tinggi menarik minat pelabur.

"Ekuiti Malaysia dinilai rendah, dan ini menawarkan potensi peningkatan. Kestabilan ekonomi dan dasar juga meningkatkan keyakinan pelabur, manakala trajektori pertumbuhan syarikat membangkitkan keyakinan untuk masa depan pasaran," katanya.

Mohd Afzanizam berkata memandangkan Bursa Malaysia terus menarik penyenaraian IPO, beliau menjangkakan momentum bursa itu akan memberi inspirasi kepada perusahaan kecil dan sederhana untuk mengejar peluang pertumbuhan yang sama.

"Aktiviti IPO yang mencatat rekod itu menunjukkan daya tahan Malaysia dan kedudukan pasaran modal yang kukuh di ASEAN, memberikan tinjauan positif untuk 2025," katanya.

-- BERNAMA