PRAGUE: Seekor tenggiling China dalam jagaan di Prague Zoo, Republik Czech selamat melahirkan anak pada Khamis lalu, sekali gus menjadi kelahiran pertama di Eropah bagi spesies haiwan terancam itu.

Memetik laporan AP, anak tenggiling itu dalam keadaan sihat selepas berdepan masalah kesihatan selepas beberapa hari dilahirkan.

Selepas lahir pada 2 Februari lalu, pekerja zoo bimbang dengan keadaan kesihatan haiwan berkenaan disebabkan kehilangan berat badan. 

Dalam pada itu, punca anak tenggiling itu kehilangan berat badan kerana induknya, Run Hou Tang tidak memiliki bekalan susu yang cukup.

Hasil rundingan pakar dari Taiwan, program susu tiruan menggunakan susu kucing telah diperkenalkan kepadanya, manakala Run Hou Tang perlu melalui proses untuk merangsang penghasilan susu.

Difahamkan, anak tenggiling itu masih belum diberi nama namun digelar "Little Cone" kerana menyerupai kon benih cemara.



Dalam pada itu, Pengarah Zoo Miroslav Bobek memaklumkan pihaknya berjaya mengatasi masalah pertama.

“Berat anak tenggiling itu hanya 135 gram. Tenggiling dewasa boleh mencapai sehingga 7 kilogram. Spesies ini berasal dari China Selatan dan Asia Tenggara - iaitu zon yang memiliki salah satu daripada empat spesies tenggiling di Asia. Sementara itu, empat spesies lagi boleh ditemui di Afrika,” katanya.

Prague menerima haiwan itu dari Taiwan pada tahun lalu sekali gus menjadikan lokasi itu sebagai zoo kedua di Eropah yang mempunyai spesies berkenaan. Run Hou Tang, dan pasangan jantannya, Guo Bao, berasal dari zoo Taipei.

Dianggarkan hampir 200,000 tenggiling diperdagang pada tahun 2019 untuk kegunaan dalam perubatan tradisional di Asia dan negara lain.

Tenggiling juga sukar membiak dalam kurungan kerana memerlukan diet khas selain persekitaran ideal yang lembap dengan suhu tertentu.