Angka korban letusan gunung berapi White Island di New Zealand pada Isnin meningkat kepada enam.

Media tempatan melaporkan terdapat kemungkinan lapan lagi mangsa dipercayai tertimbus di bawah abu letusan gunung berapi tersebut.

Ketika ini operasi pencarian berdepan kesukaran ekoran risiko berlaku letusan kedua.

Menurut pihak berkuasa, seramai 47 pengunjung berada di pulau gunung berapi itu ketika ia meletus. Mereka terdiri daripada 24 warga Australia; sembilan warga Amerika Syarikat; empat dari Jerman; dua dari China dan United Kingdom; satu dari Malaysia; serta lima penduduk tempatan.

Sejumlah 31 mangsa yang terselamat sedang menerima rawatan di hospital, manakala tiga yang lain telah diberi rawatan dan dibenarkan pulang.

Mangsa rakyat Malaysia kemudian disahkan maut oleh Suruhanjaya Tinggi negara di New Zealand setelah dihubungi pihak berkuasa negara itu pada pagi Selasa waktu tempatan.

BACA: Letusan gunung berapi New Zealand: Seorang rakyat Malaysia maut


BACA: Gunung berapi New Zealand meletus, 20 dikhuatiri cedera

BACA: Letusan gunung berapi NZ: Rakyat Malaysia antara yang hilang

BACA: Warga Malaysia cedera dalam bencana letusan gunung berapi New Zealand - Kementerian Luar

Buat masa ini tiada sebarang keputusan sama ada gunung berapi tersebut akan terus dibuka kepada orang ramai selepas berlakunya tragedi malang itu.

Polis yang memantau keadaan percaya tiada lagi mangsa yang terselamat susulan letusan yang berlaku pada jam 2.11 petang itu.

"Berdasarkan maklumat yang kami peroleh, kami percaya semua mangsa yang terselamat telah dibawa keluar dari pulau itu pada hari kejadian," kata jurucakap polis.