Gabenor Kemerovo meletak jawatan pada Ahad susulan kejadian kebakaran pusat beli belah di wilayah itu yang meragut lebih 60 nyawa termasuk kanak-kanak.

Hasil siasatan mendapati pusat beli belah terbabit telah melanggar prosedur keselamatan hingga mengakibatkan mangsa terperangkap.

Dalam video yang dimuat naik dalam laman web pentadbiran Keremovo, Aman Tuleyev berkata atas dasar integriti, perletakan jawatannya adalah pilihan tepat selepas mengambil kira apa yang berlaku minggu lalu.

"Dengan beban yang amat berat ini, adalah mustahil untuk bekerja meneruskan tugas sebagai gabenor," kata Tuleyev.

Kejadian pada Ahad lalu merupakan insiden terburuk yang pernah berlaku dalam sejarah Rusia sejak bubarnya kesatuan Soviet.

Penyiasat berkata minggu lalu bahawa pintu kecemasan telah disekat secara haram, sistem amaran awam tidak dihidupkan, sistem penggera telah pecah mengakibatkan mangsa yang terdiri daripada kanak-kanak telah terperangkap di dalam pawagam.

Presiden Vladimir Putin berkata kejadian itu disebabkan oleh jenayah kecuaian dan mereka yang bertanggungjawab akan dihukum.

Pada Jumaat, polis telah menahan seorang eksekutif dari firma yang memiliki pusat membeli-belah terbabit.