LEBIH 50,000 orang hilang tempat tinggal berikutan pertempuran etnik baru-baru ini di Manipur, India, yang terletak di sempadan Myanmar.

Menurut Menteri Penerangan R K Ranjan, secara keseluruhannya 50,698 orang hilang tempat tinggal akibat keganasan etnik dan kini ditempatkan di 349 kem sementara.

Konflik antara etnik Meitei dan etnik lain, termasuk Naga dan Kuki, mengorbankan lebih 80 orang bulan lalu.

Ia pertama kali tercetus pada 3 Mei selepas 'Perarakan Solidariti Suku' dianjurkan bagi membantah tuntutan komuniti Meitei untuk status 'Scheduled Tribe'. 

Ketegangan dan keganasan berterusan di rantau itu walaupun pasukan keselamatan ditempatkan di beberapa lokasi.

Kementerian Dalam Negeri pada Sabtu memaklumkan “jawatankuasa keamanan” yang diketuai Gabenor Manipur Anusuiya Uikey dibentuk untuk memulihkan keamanan di negeri itu.

Ia turut dianggotai Ketua Menteri N Biren Singh, Ahli Parlimen, birokrat dan pemimpin parti politik.

Ketegangan memuncak selepas Mahkamah Tinggi mengarahkan kerajaan negeri untuk mempertimbangkan agar komuniti Meitei diberi status Scheduled Tribe.

Ia ditentang hebat oleh etnik lain yang membentuk kira-kira 40 peratus penduduk kerana dikhuatiri menjejaskan hak mereka.

Scheduled Tribe akan memberi faedah tambahan kepada Meitei untuk mendapat pekerjaan dalam sektor kerajaan, pendidikan dan pemilikan tanah hutan.